Saturday, June 2, 2012

Azmin: 'Lebih 20 pemuda ganggu keluarga saya malam tadi'

Azmin: 'Lebih 20 pemuda ganggu keluarga saya malam tadi'

SHAH ALAM - Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali mendakwa lebih 20 orang pemuda, dipercayai anggota sayap muda sebuah parti politik, mengganggu keluarganya di rumah mereka di Ampang kira-kira dua jam lewat malam tadi.


Kumpulan itu dikatakan berada di pekarangan rumah Azmin, di Taman TAR, dan disuraikan oleh polis yang tiba sekitar jam 11.30 malam.


Dalam mesej menerusi Twitter lewat malam tadi, kata Azmin, polis tiba di rumah beliau untuk memantau serangan lebih 20 ahli Pemuda, yang bermotosikal "untuk ganggu kacau keselamatan keluarga saya."


Seorang pegawainya memberitahu Sinar Harian Online bahawa mereka berada di kawasan rumah Azmin sejak 10 malam dan hanya bersurai selepas polis tiba pada jam 11.30 malam.


Azmin berhadapan dengan insiden ini beberapa hari selepas pendedahan sebuah portal bahawa beliau tidak dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa dalam isu rasuah yang berlaku 17 tahun yang lalu.


Beberapa ceramah dan program anjuran parti itu juga berhadapan dengan tindakan kasar pihak tertentu sejak kebelakangan ini.
Sementara itu, satu lagi bantahan dibuat belia Ampang di hadapan rumah Azmin kira-kira jam 4 petang tadi yang mendesak Azmin menjawab dakwaan memiliki harta yang lebih ketika menjawat jawatan penjawat awam dan penyebaran gambar aksi lucah miripnya.
"Sekumpulan individu, dipercayai sebahagiannya orang yang sama datang petang ini, membawa sepanduk... tindakan mereka sebenarnya turut mengganggu penduduk sekitar. Mereka tidak sepatutnya bertindak sedemikian," kata pegawai Azmin.
Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin mengesahkan menerima laporan berhubung insiden.
"Laporan berkenaan dibuat isteri Azmin, Shamsidar Tahrin kira-kira jam 10.22 malam di Balai Polis Hulu Kelang.
"Polis masih belum mengenal pasti punca kejadian dan akan menjalankan siasatan berhubung laporan itu," katanya.

Harga kesetiaan Azmin pada Anwar

Timbalan presiden PKR Azmin berkata beliau tidak akan berganjak dari sokongannya kepada ketua umum parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim walau keluarganya sendiri "hancur" dan diaibkan.

Katanya beliau terpaksa berdepan perkara itu kerana tidak menyokong Umno dan konsisten dengan Pakatan Rakyat.

"Kalau ini harga yang perlu saya bayar untuk bawa perubahan, saya sanggup membayar, biar saya dihina diaib tapi rakyat dan negara mesti diselamatkan," katanya dalam satu wawancara dengan Malaysiakini.

Beliau juga sanggup mengharungi perkara itu demi mempertahankan Anwar, sedangkan beliau juga boleh menyokong Mahathir pada 2 September 1998 - ketika Anwar dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri dan menteri kewangan.

"Saya kena pilih antara Dr Mahathir atau Anwar. Bukan pilihan mudah. Dua tokoh utama negara yang perlu saya pilih, maka saya pilih pertahan kebenaran.

"Walaupun saya lalui kesengsaraan, masuk lokap keluar lokap, saya didakwa, dihina, keluarga saya hancur kerana pilihan yang saya buat.

"Tapi bagi saya itu pilihan yang perlu saya buat untuk pertahan kebenaran," katanya.

'Isu keluarga jangan dipolitikkan'

Azmin berkata, beliau langsung tidak terkesan dengan dakwaan berkenaan yang antara lainnya mempertikaikan hubungan darah beliau dengan anaknya.

"Lihatlah apa yang mereka lakukan kepada isteri dan anak saya. Selepas 14 tahun masih ulang fitnah sama, sehingga hari ini.

"Apa yang anda mahu saya lakukan? Saya sudah buat bahagian saya. Saya sudah dapatkan keputusan dua ujian DNA.

"Adakah mereka berminat dengan kebenaran? Tidak. Mereka hanya berminat untuk mengulangi fitnah dan penipuan untuk memburukkan imej pemimpin Pakatan," katanya lagi.

Perkara itu juga yang mendorong anak perempuannya untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang, setelah melalui dakwaan berkenaan sejak 14 tahun lalu.

Ditanya mengenai hubungannya dengan Umi Hafilda, adiknya yang kini giat mengadakan ceramah anti-Anwar, Azmin berkata beliau tidak mahu terlibat dalam kancah pertikaian dengan Ummi di media.

"Kalau dia pilih (ulas di media) tak apa lah, saya tak mahu terlibat. Saya yakin institusi keluarga ini wajar disejahterakan, diharmonikan, bukan diaibkan dalam media. Saya cukup tak bersetuju hal ini.

"Apa sahaja masalah keluarga, jangan dipolitikkan dan diaibkan dalam media," katanya.

Sumber: Dari Sinar Harian & www.malaysiakini.com

Nota kaki: Tak sudah-sudah samseng-samseng jalanan ni nak ganggu hidup orang. Apa masalah diorang ni sebenarnya? Ini ke yang dinamakan manusia bertamadun? Macam orang pra-sejarah je dah sekarang ni.

No comments:

Post a Comment

View in Offshore

View in Offshore
Taken from on top of Helideck